Monday, December 01, 2008

Penyerang Mumbai dedah Rahsia Komplot


GAMBAR bertarikh 27 November ini menunjukkan Azam berada di luar stesen kereta api Chatrapati Shivaj, Mumbai. Remaja ini menjadi popular sejak bermulanya serangan pengganas di Mumbai apabila wajahnya dipaparkan kepada dunia sebagai antara pengganas yang menyerang Mumbai. Dan yang pasti juga, dia adalah satu-satunya penyerang yang dapat ditangkap hidup-hidup oleh Kerajaan India.

MUMBAI – Satu-satunya militan yang ditangkap hidup-hidup selepas pembunuhan besar-besaran di Mumbai memberitahu kisah sebenar kepada polis termasuk arahan supaya dia membunuh sehingga ke titisan darah terakhir, lapor sebuah akhbar semalam.


Militan itu, Azam Amir Kasab berumur 21 tahun dari Pakistan berkata, siri serangan tersebut dirancang dengan teliti enam bulan lepas dan bertujuan untuk membunuh 5,000 orang.

Dia berkata, kumpulannya mengandungi 10 orang yang cekap dan cukup terlatih dalam peperangan marin dan mereka memasuki bandar raya Mumbai dengan menggunakan bot.

Menurut pemuda itu, mereka merancang meletupkan Hotel Taj Mahal selepas membunuh pelancong-pelancong Britain dan Amerika Syarikat (AS) serta menawan sejumlah tebusan.

Bagaimanapun, jelasnya, pasukan mereka yang dibekalkan sejumlah bahan letupan tidak menyangka bahawa bangunan hotel berusia 105 tahun itu dibina dengan begitu kukuh.

Letupan yang dicetuskan kumpulan itu pada malam Rabu lalu gagal meranapkan Hotel Taj Mahal tetapi serangan kejam mereka disahkan meragut hampir 200 nyawa.

Pada Jumaat lalu, Azam menceritakan secara terperinci bagaimana pembunuhan pada malam Rabu lepas itu berlaku.

Pemuda itu selamat kerana dia berpura-pura mati.

Hanya ketika Azam dibawa ke sebuah hospital dengan menggunakan sebuah ambulans, seorang pegawai keselamatan dalam kenderaan itu menyedari bahawa dia masih bernafas.
Ketika di hospital, Azam yang hanya mengalami cedera ringan berkata kepada seorang kakitangan perubatan: “Saya tidak mahu mati. Tolong rawat saya dengan segera”.

Azam memberitahu polis bahawa dalang kumpulan itu menerangkan kepada mereka supaya menjadikan `orang putih’ terutamanya warga AS dan Britain sebagai sasaran.

Beberapa militan termasuk dirinya, menyamar sebagai pelajar ketika melawat Mumbai pada Oktober lepas untuk merakam gambar-gambar lokasi serangan di samping membiasakan diri dengan kawasan tersebut.

Dia turut menceritakan bagaimana mereka melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah sebuah stesen keretapi yang sibuk dan membunuh berpuluh-puluh orang.

Azam dan konco-konconya kemudian berniat untuk bergerak ke Bukit Malabar iaitu tempat tinggal orang-orang kenamaan dan merancang menawan mereka sebagai tebusan.

“Nasib baik, perkara seperti itu tidak berlaku kerana kami berjaya menewaskan mereka ,” kata polis.

Menurut polis, Azam mengaku menganggotai kumpulan pengganas dari Paskistan, Laskhar-e-Toyyiba yang sebelum ini menafikan terbabit dalam serangan kejam itu.

Polis juga menyatakan pemuda itu dan rakan-rakannya dilatih di negara itu.

Satu laporan menyatakan salah seorang militan itu bekerja di dapur Hotel Taj Mahal selama lapan bulan sebelum siri serangan itu dilancarkan dan dia menunjukkan pasport Britain pada sesi temu duga.

Menurut soal siasat ke atas Azam yang didedahkan oleh sumber-sumber polis, militan-militan itu menjalani latihan selama lima bulan di wilayah Kahsmir yang dikuasai Pakistan dan diberi cuti sebulan sebelum serangan.

Sumber-sumber itu memberitahu, pada satu peringkat kumpulan militan tersebut turut menerima arahan intensif tentang operasi peperangan marin.

Azam dan sembilan militan lain memulakan perjalanan ke Mumbai pada 21 November dan mereka berhubung menggunakan alat komunikasi BlackBerry.

Kumpulan itu pada awalnya tidak bersenjata dan mereka bergerak dari kawasan pantai terpencil berhampiran Karachi, di Pakistan di dalam sebuah bot.

Sebuah kapal kemudian mengambil mereka pada keesokan harinya.

Ketika itu, setiap seorang daripada mereka diberikan lapan bom tangan, sepucuk raifal AK-47, pistol automatik dan sejumlah peluru selain buah-buahan kering sebagai bekalan makanan.

Azam memberitahu polis bahawa kumpulan itu kemudian merampas sebuah kapal nelayan berhampiran sempadan marin antara Pakistan dan India.

Katanya, militan-militan itu kemudian bergerak ke pantai berhampiran Mumbai menggunakan beberapa buah bot getah yang dibekalkan di dalam kapal nelayan tersebut.

Polis India memberitahu, empat daripada krew kapal itu masih hilang manakala anak kapal kelima ditemui mati dengan kepalanya dipenggal. Pada 23 November lalu, selepas sampai ke Porbandar di negeri Gujarat, 310 batu nautika dari Mumbai, kumpulan itu dipintas oleh dua anggota pengawal pantai.

Kumpulan itu kemudian mengibarkan bendera putih dan membenarkan kedua-dua anggota pengawal pantai itu memasuki bot mereka.

Menurut Azam, salah seorang militan itu kemudian menyerang seorang anggota polis tersebut dan mengelar leher lelaki itu sebelum melontar mangsa ke dalam laut.

Seorang lagi anggota pengawal pantai dipaksa membantu kumpulan itu sampai ke destinasi mereka sebelum dia juga dibunuh apabila bot menghampiri Mumbai.

Apabila tiba di sebuah pantai di Mumbai kumpulan militan itu berpecah.

Empat orang bergerak ke Hotel Taj Mahal, dua lagi menuju ke pusat komuniti Yahudi, Azam dan seorang lagi militan menaiki teksi menuju ke stesen keretapi manakala dua yang lain bergerak ke Leopold Cafe yang turut menjadi sasaran serangan. – Agensi

Jeraul : " Kalau dibicarakan dan dihukum, kalau tak salah memang akan dihukum mati juga... kesian umur pun masih muda lagi... Yang paling menyedihkan saya, sekali lagi Islam akan dilabelkan sebgai agama pengganas.
Untuk pengetahuan pengunjung blog juga, the only one Malaysian yang berada di dalam Hotel Taj Mahal pada waktu serangan juga tleh meninggal iaitu mendiang Hema Kasipillay, 51

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites