Tuesday, February 26, 2008

Calon Pilihanraya Umum 2008

Pilihan Raya Umum 2008 sudah pun memasuki fasa yang berikut apabila penamaan calon telah pun berjalan dengan lancarnya 24 Februari 2008. Seramai 1,109 calon akan bertanding di 505 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 479 calon lagi akan cuba merebut 222 buah kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-12 kali ini.

Pilihan raya kali ini melihat seramai 543 muka baru, termasuk 42 calon muda berusia bawah 40 tahun diberi kepercayaan oleh parti masing-masing untuk bertanding. Daripada jumlah itu, BN meletakkan 19 calon, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula masing-masing menampilkan sembilan calon manakala PAS memberi peluang kepada lima calon.

Calon yang termuda dalam pilihan raya ini adalah Ginnie Lim Siew Lin berumur 26 tahun wakil dari PKR yang akan bertanding untuk DUN Machap. Tidak ketinggalan juga Nurul Izzah, 27 calon PKR bagi Parlimen Lembah Pantai, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, 31, calon BN bagi Parlimen Tumpat, Kamaruzzaman Abdullah, 31, calon PAS untuk kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan How Wee Shiong, 27, calon DAP bagi DUN Chennah.

Bagi calon baru pula, BN yang mempunyai 14 parti komponen menampilkan 235 orang muka baru dengan Umno sebagai parti komponen terbesar, memberi kepercayaan kepada 158 orang muka baru, MCA pula seramai 53 orang, MIC 14 orang dan Gerakan pula 11 orang muka baru.

Sementara itu sebanyak 10 buah kerusi telah dimenangi tanpa bertanding, sembilan kerusi oleh calon BN dan satu kerusi calon PAS. Calon BN yang menang adalah Datuk Seri Azalina Othman Said Menteri Belia dan Sukan bagi .Parlimen Pengerang, Johor, Norah Abdul Rahman bagi Parlimen Tanjung Manis, Aaron Ago Dagang Parlimen Kanowit, Joseph Entulu Parlimen Selangau dan Alexander Nanta Linggi Parlimen Kapit di Sarawak dan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh Parlimen Kalabakan serta Tan Sri Joseph Kurup Parlimen Pensiangan di Sabah.

Dua lagi kerusi yang dimenangi oleh calon BN adalah kerusi DUN Sementa, Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, dan Datuk Ramlee Marhaban bagi DUN Bugaya, Sabah. Manakala satu kerusi yang diperolehi oleh PAS ialah di DUN Kijang, Kelantan apabila calonnya, Wan Ubaidah Omar, diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas calon BN, Mustopha Ahmed, ditolak kertas pencalonannya kerana muflis.

Pada pilihan raya umum ke 11 lalu, BN telah menangi 21 kerusi tanpa bertanding - tujuh Parlimen dan empat DUN di Sabah, enam Parlimen di Sarawak, satu Parlimen dan satu DUN di Johor serta masing-masing satu DUN di Perak dan Selangor. PAS pula menang satu kerusi tanpa bertanding di DUN Senggarang, Johor.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, yang menyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang sejak 1978, dicabar calon PAS, Subri Arshad, manakala Najib ditentang calon PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainudin di kerusi Parlimen Pekan, Pahang yang disandangnya sejak 1976.

Senarai penuh nama calon bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan boleh diperiksa di General Election 2008 Candidates.

Kedudukan mereka yang dinamakan sebagai calon untuk Parlimen dan DUN ini akan ditentukan oleh seramai 10,922,139 pemilih yang layak mengundi pada 8 Mac depan.

Jeraul said :... Dato Seri Anwar Ibrahim hanya dapat bertanding selepas 14 March...nampaknya, tak dapatlah nak tengok dia menjadi salah seorang calon pilihanraya kali ni.

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites