Friday, September 11, 2009

Tanda-Tanda Kitab Yang Bawa Kebenaran

Sesuatu yang menjadi keyakinan itu hanya dianggap kebenaran bila ia sesuai dengan ilmu. kalau ia tidak sesuai dengan ilmu, ia tidak dianggap kebenaran, walaupun kita meyakininya sebagai satu kebenaran. Ibarat orang yang menangkap ular tapi disangka haruan. Bila dibahaskan dengan ilmu, ternyata apa yang ditangkap itu bukan haruan tetapi ular. Ini bermakna, keyakinannya itu tidak berasaskan ilmu. Sekadar yakin pada sesuatu itu tidak semestinya menunjukkan perkara yang diyakini itu satu kebenaran. la mesti diuji dengan ilmu, pengalaman dan kajian-kajian.

Oleh itu, kalau kita mahu membuktikan kebenaran sesuatu kitab yang menjadi pegangan mana-mana penganut agama hari ini, kita perlu menyuluhnya dengan ilmu. Sesuatu kebenaran itu mesti boleh diperkatakan dengan ilmu, barulah boleh diterima sebagai kebenaran.

Di sini kita akan bahaskan secara umum, bagaimana untuk membuktikan sesuatu kitab itu benar-benar daripada ALLAH atau tidak.

1. Sesuai Dengan Fitrah

Kitab yang benar-benar membawa ajaran yang sesuai dengan fitrah. Kalau ia tidak sesuai dengan fitrah, itu bukanlah ilmu. Kenapa mesti sesuai dengan fitrah? Sebab ALLAH datangkan kitab atau peraturan itu sebagai rahmat untuk kebahagiaan manusia. Supaya apa yang ALLAH suruh atau perintahkan, disetujui oleh hati. Begitu juga apa yang ALLAH larang, hati turut menyetujuinya; memang patut ia dilarang.

Sebagai contoh, kalau ada kitab yang mengharamkan perkahwinan, kita perlu tanya hati kecil atau fitrah hati kita; apakah fitrah manusia tidak ingin pada perkahwinan? Apakah dengan berkahwin itu hati rasa seronok atau sebaliknya? Sebenarnya semua manusia ingin pada perkahwinan. Kalaulah ada kitab yang mengatakan perkahwinan itu tidak dibolehkan, bukankah ini menyeksa jiwa? Dan bukankah ini menafikan rahmatil `alamin (rahmat untuk sekalian alam)? Kalau dengan mengamalkan ajaran kitab itu tidak terasa rahmatil `alamin, bermakna kitab itu bukan asli lagi. la bukan kitab yang membawa kebenaran.

2. Ada Teguran ALLAH

Dalam kitab yang benar-benar membawa kebenaran, ALLAH ada memberi teguran kepada rasul yang ditugaskan membawa kitab itu. Ini sebagai satu didikan atau pimpinan dari ALLAH untuk rasul berkenaan, kerana sebagai manusia biasa, kalau ALLAH tidak pimpin, pasti dia akan tersilap. Jadi pimpinan ALLAH itu termasuklah teguran yang disampaikan melalui kitab. Kalau dalam sebuah kitab yang dikatakan membawa kebenaran itu tidak terdapat teguran dari ALLAH kepada rasul, ini bermakna kitab itu bukan kitab asli tetapi sudah diubah suai isi kandungannya. Atau ia merupakan kitab yang direka sendiri, bukan yang datang dari ALLAH.

3. Sesuai Dengan Akal

Syariat yang dibawa oleh kitab itu boleh dihujah dengan akal. Bila dihujah, terasa munasabahnya. Misalnya, perintah suruh yang terdapat dalam kitab itu sangat munasabah bila dipadankan dengan akal. Begitu juga perintah larang, kalau dihujah dengan akal sangat munasabah. Sebaliknya, kalau syariat yang dibawa itu tidak munasabah bila dihujah dengan akal, ini menunjukkan kitab itu bukan membawa kebenaran tetapi membawa kepalsuan.

4. Tidak Dapat Ditiru

Kitab yang benar datang daripada ALLAH tidak dapat ditiru walaupun oleh orang yang paling bijak sekalipun. Kalau kitab itu boleh ditiru, itu tandanya ia bukan datang dari ALLAH. Mana mungkin perbahasan ALLAH dapat ditiru oleh manusia?

5. Bahasa Mudah Tapi Tak Boleh Ditipu

Bahasa yang digunakan mudah tetapi itupun tidak boleh ditiru oleh manusia. Kalau bahasa dalam kitab itu sulit tapi boleh tiru, ini menunjukkan kitab itu bukan datang daripada ALLAH. Atas dasar rahmat dari ALLAH, kitab yang diutuskan-Nya kepada manusia mudah difahami, tapi tidak boleh ditiru. Ini satu keajaipan daripada ALLAH.

6. Menceritakan Sejarah Rasul Sebelumnya

Isi kitab itu dari ayat ke ayat, dari halaman ke halaman dan dari juz ke juz tidak berlawanan antara satu sama lain. Dan kitab itu ada menceritakan tentang utusan atau rasul selain daripada rasul yang membawa kitab itu. Kerana rasul yang diutus oleh ALLAH itu bersambung-sambung dari seorang ke seorang sampailah kepada Rasul Penutup, Nabi Muhammad SAW. Jadi kalau dalam kitab itu tidak ada menceritakan tentang rasul yang akan menyambung tugas membawa kebenaran, itu menunjukkan kitab itu tidak benar. la direka-reka oleh manusia, bukan dibawa oleh rasul.

7. Mengikut Perkembangan Masa

Syariat yang ALLAH turunkan melalui kitab itu tidak terus lengkap, sesuai dengan perkembangan manusia. Misalnya, di zaman Nabi Adam, syariat membolehkan perkahwinan antara adik-beradik, kerana waktu itu manusia belum ramai. Kalau waktu itu tidak dibenarkan berkahwin antara adik-beradik, ertinya tidak berlaku perkahwinan, sedangkan keinginan pada perkahwinan adalah fitrah. Tetapi kemudian dari itu, apabila manusia sudah ramai, tidak dibenarkan lagi manusia berkahwin antara adik-beradik.

8. Ajarannya Khusus Untuk Satu Kaum

Kebenaran yang dibawa oleh kitab yang datang dari ALLAH itu tidak terus ditujukan kepada semua kaum di dunia, tetapi ditujukan kepada satu-satu kaum saja. Dengan kata lain, sebelum ALLAH datangkan kitab yang ditujukan kepada semua kaum, secara beransur-ansur ALLAH turunkan kitab yang ditujukan kepada satu-satu kaum. Kerana kalaulah daripada awal-awal lagi rasul itu mesti menyampaikan kepada semua orang di seluruh dunia, ini akan menyulitkan. Waktu dulu perhubungan sulit, sukar bagi rasul untuk pergi menjelajah ke semua tempat. Sebab itu rasul-rasul yang datang silih berganti itu diutuskan pada satu-satu kaum saja. Hanya rasul yang terakhir sekali (Nabi Muhammad SAW) diutuskan untuk semua bangsa atau kaum, kerana waktu itu perhubungan sudah agak mudah. Sama ada mudah bagi rasul itu bertemu dengan orang atau orang bertemu dengannya.

Jadi, hanya Rasulullah SAW saja yang membawa ajaran untuk semua kaum dan bangsa, manakala rasul-rasul yang lain tidak. Kalau ada kitab selain dari yang dibawa oleh Rasulullah, yang isinya ditujukan untuk semua kaum, maka ini menunjukkan kitab itu bukan datang dari ALLAH. Kitab itu nyata membawa kepalsuan. Tapi kenapa ajaran dalam semua agama sekarang ini mahu melibatkan semua kaum? Sedangkan sewaktu didatangkan dulu, kitab-kitab selain dari yang dibawa oleh Rasulullah SAW tidak begitu kedudukannya; ia hanya khusus untuk satu-satu bangsa atau kaum saja.

9. Ramalannya Tepat

Apa yang disebut di dalam kitab itu mengenai apa yang akan berlaku pada masa depan, mesti benar-benar berlaku. Kalau ia tidak berlaku, itu tandanya kitab itu bukan kitab yang benar.

10. Tiada Tokok-Tambah

Tidak boleh ada campurtangan sebarang orang dalam penyampaian kitab itu, sekalipun oleh rasul yang membawanya. Tidak boleh ada ubah-suai atau tokok-tambah. Sebagaimana ALLAH sampaikan, begitulah rasul sampaikan. Kalau ada tokok tambah, itu bukan kitab yang asli.

ITULAH asas-asas sebagai bahan berfikir, bagi membezakan kitab yang membawa kebenaran dengan kitab yang palsu

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites