Thursday, August 30, 2007

Bolasepak : Hadiah Merdeka untuk negara


Sebelum tu yang paling penting.... Malaysia tewaskan musuh tradisi Singapura di separuh akhir dengan 3-1...dan seterusnya menjadi juara bila berjaya menewaskan Myanmar juga 3-1 di final. Saya hampir terlepas melihat aksi semlam kerana terlupa. Setelah Malaysia leading 1-0 baru saya dapat menonton perlawanan Malaysia vs Myanmar ini.
KEMARAU 14 tahun dileraikan di Stadium Shah Alam, malam tadi ketika Malaysia berpesta menyambut kemenangan 3-1 ke atas juara bertahan, Myanmar pada final Pestabola Merdeka Ke-39.
Jaringan penyerang Zaquan Adha Radzak dan Safee Sali serta gol sendiri Khin Maung Lwin memastikan skuad negara bimbingan B Sathianathan memahat nama buat kali ke-11 menjuarai kejohanan yang pernah dilabel paling berprestij di Asia suatu masa dahulu.

Tanpa ketua pasukan, Shukor Adan yang diketepikan gara-gara kecederaan pangkal paha, lilitan di lengan dengan tanggungjawab berat dipikul pengganti Shukor, Azi Shahril Azmi. Jelas peranan digalas itu tidak dikecewakannya.

“Tidak dinafikan ini satu halangan sukar dilepasi. Ketiga-tiga gol yang kita jaringkan bukan mudah. Kami memberi tekanan kepada Myanmar sebaik wisel permulaan dan ini antara punca utama kami menguasai permainan dan menang malam ini (malam tadi),” kata Sathianathan.

Seolah-olah mendapat inspirasi daripada kehadiran Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, skuad bawah 23 tahun negara bermula dengan rentak cemerlang seperti kejayaan mengalahkan Singapura 3-1 pada separuh akhir, Isnin lalu.

Semangat yang dipamerkan pemain diterjemahkan kepada gol pertama yang hadir pada minit ke-12 hasil gerakan bijak antara penyerang serangkai, Safee Sali dan Zaquan Adha Radzak.

Zaquan yang menyambut lorongan pertahanan kanan Daudsu Jamaluddin di sebelah kanan mengumpan kepada Safee yang dikawal Khin Maung Lwin. Ketika Safee terlepas bola, Zaquan merebut kesempatan itu dan melarikan bola beberapa meter sebelum melepaskan rembatan leret ke penjuru kiri pintu gol lawan, yang dikawal penjaga golnya Aung Aung Oo.

Myanmar seperti mahu menyambut gol penyamaan pada minit ke-34 tetapi jaringan Yan Paing dibatalkan pengadil, Chaiya Alee Mahapab dari Thailand kerana kekasaran terlebih dahulu ke atas penjaga gol negara, Syed Adney Syed Hussein.

Apapun, pelawat yang memburu kejuaraan kali kelima, bangkit dengan asakan hebat pada awal babak kedua dengan Yan Paing menguji Syed Adney menerusi rembatan padu minit ke-48 tetapi Malaysia tambah ceria dengan gol kedua lapan minit kemudian - terima kasih kepada pertahanan Myanmar, Maung Lwin, yang menjaringkan gol sendiri.

Ketika dicabar pemain Malaysia, hantaran lintang Khyril Muhymeen dari sebelah kiri ditampan masuk ke dalam gol sendiri.

Stadium dipenuhi kira-kira 45,000 penonton kembali gegak gempita apabila Safee meletakkan Malaysia dalam keadaan selesa dengan gol ketiga minit ke-60.

Mendapat lorongan cantik Norshahrul Idlan Talaha dari tengah padang, Safee tenang melarikan bola ke arah kawasan penalti lawan sebelum merembat kencang melepasi Aung Oo.

Myanmar mendapat gol saguhati menerusi pemain gantian Tun Tun Win pada minit ke-73 tetapi ia tidak cukup buat mereka mencalarkan keraian sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-50 negara, esok. Lebih pedih mereka beraksi dengan 10 pemain bagi tiga minit terakhir apabila Kyaw Khing Win dibuang padang.

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites