Thursday, February 12, 2009

Lan , Meet Uncle Hussein akan disingkirkan???


Dah lama sebenarnya kita sering mendengar tentang masalah disiplin Lan, iaitu Vokalis kumpulan Meet Uncle Hussein ni. Jeraul kesian plak dengan line up kumpulan MUH yang lain. Gara-gara dia, semua band member susah nak cari makan. Agak-agak korang... Lan akan disingkirkan ke tak?

Jawab, jangan tak jawab!: 'Sudah banyak kali dia buat perangai'

Lan

Gitaris Meet Uncle Hussain, Taja, akhirnya bersuara mengenai ketidakpuasan hati mereka dengan sikap vokalis, Lan

TERCEMAR sudah imej dan reputasi kumpulan yang baru saja lagunya dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-23 yang baru lalu. Semuanya kerana masalah disiplin serta tidak bertanggungjawab membabitkan vokalis mereka, Lan.
Bukan sekali dua, malah sudah banyak kali cerita negatif mengenai sikap vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) ini sampai ke telinga media. Datang lewat ketika persembahan, tidak hadir sesi fotografi, bersikap acuh tak acuh ketika ditemubual dan kerap bertelagah dengan pihak pengurusan adalah antara perkara yang cukup sinonim dengan penyanyi ini.

Biarpun sudah beberapa kali perkara ini dibawa berbincang namun hasilnya tetap sama. Menurut jurucakap serta gitaris kumpulan MUH iaitu Taja, setiap kali mereka bersemuka, perubahan hanya akan berlaku untuk sementara saja. Esok lusa, Lan kembali ke perangai lamanya.

Pun begitu, jelas Taja mereka masih mengharapkan supaya Lan akan berubah suatu hari nanti dan seandainya hasrat itu tidak menjadi kenyataan serta keadaan menjadi semakin genting, tidak mustahil suatu hari nanti nama MUH hanya akan tinggal sejarah.

Hip: Benarkah dakwaan yang mengatakan Lan sering mendatangkan masalah kepada MUH?

TIDAK mustahil satu hari nanti MUH bakal berkubur gara-gara masalah disiplin vokalisnya, Lan.

Taja: Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku iaitu sejak kami memenangi anugerah Kumpulan Baru Terbaik sewaktu Anugerah Planet Muzik tahun lalu. Masa itu permasalahan antara kami boleh diibaratkan seperti luka kecil saja. Tapi kini ia sudah merebak menjadi tahap kudis dan tak mustahil boleh menjadi barah. Sudah banyak kali dia buat perangai. Tak datang sesi fotografi, sidang media, sesi bertemu peminat dan ada sesetengah persembahan, dia selalu datang lambat. Kadang-kadang, show dah tamat baru nampak batang hidung dia. Tapi apa yang lebih membuatkan kami terkilan adalah kerana kelemahannya untuk berkomunikasi membuatkan kami sering terlepas show yang besar-besar. Kebanyakan penaja korporat ini dia bukan saja mahu kelebihan menyanyi tetapi juga kemahiran dalam berkomunikasi dan melayan pelanggan mereka.

Hip: Jadi disebabkan sikap Lan, MUH kehilangan banyak tawaran?

Taja: Itulah situasi yang kami lalui ketika ini. Disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Dia memang menghadapi masalah komitmen dan kerana dia, nama kami semua menjadi busuk. Apabila dia kerap datang lewat, tak datang sesi fotografi, saya akui perkara ini memberi masalah kepada semua anggota MUH. Bayangkan Bakri yang hanya menjadi pemuzik undangan dan mempunyai kerja tetap pun boleh memberikan komitmen, inikan pula Lan yang seratus peratus bersama MUH. Bukan kami tak pernah berbincang mengenai perkara ini, tapi setiap kali kami bersemuka, ada saja alasan yang diberinya. Dan dia juga tidak sudah-sudah menyalahkan kami seolah-olah kami yang banyak memberi tekanan padanya.

Hip: Apakah kerana Lan merasakan dia adalah tunggak kejayaan MUH menyebabkan dia mula naik tocang dan berasa hebat?

Taja: Saya tak nafikan yang dia mempunyai vokal yang unik. Tapi untuk dia mengatakan yang dia adalah tunggak atau kerana dia MUH popular atau berjaya di AJL ke-23 yang lalu, itu tidak relevan sama sekali. Kalau hanya ada suara yang menarik atau unik tapi tidak disertakan dengan lagu yang menarik, tak mungkin Lagu Untukmu mampu dijulang sebagai juara. Lagipun, ingin saya jelaskan di sini, sewaktu AJL tempoh hari, suara Lan ada mengalami masalah. Namun disebabkan sokongan penonton yang sangat memberangsangkan maka kesalahan itu tidaklah ketara sangat. Jadi semuanya nampak lancar saja. Begitupun, Azmeer ada memberitahu yang juara malam itu bukan saja terletak dari segi persembahan tetapi juga elemen lain yang terkandung dalam lagu itu.

Hip: Dalam sisipan Metro, Rap Isnin lalu ada menyatakan yang MUH akan mencari anggota lain sekiranya Lan berterusan dengan sikap tidak berdisiplinnya itu. Ulas sikit?

Taja: Setakat ini kami tidak bercadang untuk menyingkirkan Lan seperti mana yang didakwa. Kami masih memberi peluang kepadanya untuk memperbaiki keadaan. Tapi itulah, peluang yang kami beri padanya itu sudah terlalu lama dan tak tahulah sama ada dia boleh berubah atau tidak. Dan seandainya dia tidak juga mahu berubah dan dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan ini, kami tidak akan menghalangnya. Sebelum ini pun dia sudah banyak kali memberitahu yang dia memang ingin bergerak secara solo cuma masalah kontrak saja yang membataskan dia untuk berbuat demikian.

Hip: Apakah ini bermakna MUH akan mencari pengganti kepada Lan jika dia undur diri?

Taja: Tidak. Kami tidak akan mencari pengganti Lan. Kalau boleh kami tidak mahu dengan adanya pertukaran anggota, akan berlaku masalah perbandingan vokalis. Lagipun saya fikir biarlah MUH muncul dengan anggota asal. Dan tidak mustahil andai itu menjadi kenyataan (pengunduran Lan), MUH mungkin akan dibubarkan. Biarlah MUH berkubur kerana itu saya rasakan lebih baik.

2 comments:

harap-harap Lan dpt ubah sikap...suara power tuuu

cuba tanya lan pulak,kalo dengar dari mulut dia peminat akan dapat menilai seadilnyar....dengar khabar lan sakit disebabkan masaalah buah pinggang yang effect saraf kaki dia...dan juga masalah 'hyperthiroid' yang sebabkan tiroidnya bengkak dan badan cepat panas...mungkin sebab-sebab inilah yang buatkan lan tak dapat bergerak aktif dalam band seperti sebelum ini...LAN KALO KO BACA COMMENT INI...DATANG KE PPUM...KITAORANG AKAN CUBA PULIHKAN KO..INSYAALLAH...PEMINAT SAYANGKAN BAND INI..NAK LIHAT BAND INI LEBIH JAUH KE DEPAN...DAN YANG PALING PENTING NAK LIHAT LAN TERUS BERSAMA DENGAN M.U.H!!!!-AMIRUL-

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites