Monday, January 22, 2007

Terlalu istimewa raih Anugerah Juara Lagu

KUALA LUMPUR: Lagu Terlalu Istimewa ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Adibah Noor menjulang trofi Anugerah Juara Lagu Ke-21 (AJL21) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi.
Pertama kali menyertai AJL 21, nyata membawa tuah kepada Adibah, penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu yang turut memenangi kategori Balada dan Vokal Terbaik, sekali gus membawa pulang wang tunai keseluruhan RM47,000 dan trofi.
Kejayaan laju Terlalu Istimewa itu menafikan peluang Warkah Buat Laila yang sebelum ini diramalkan banyak pihak bakal mengungguli AJL21 berdasarkan pencapaian cemerlangnya termasuk diiktiraf Lagu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-12, April tahun lalu. Terdahulu, mereka menerima trofi dan wang tunai RM12,000 apabila lagu itu diumumkan menjuarai kategori Balada, menewaskan tiga lagu lain yang turut bertanding.
Adibah turut memenangi vokal terbaik dengan membawa pulang RM10,000 serta trofi.
Bagaimanapun, Warkah Buat Laila, ciptaan Ayob Ibrahim dan lirik Habsah Hassan yang dinyanyikan oleh Zahid tidak pulang kosong apabila memenangi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif.
Lagu itu pernah diangkat sebagai penerima Lagu Tema Asal Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-18, selain Ayob sendiri diiktiraf pemenang Skor Muzik Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) Ke-50 pada 2005.
Kemenangan itu menyaksikan Ayob, Habsah dan Zahid membawa pulang trofi dan berkongsi wang tunai RM12,000.
Bagi kategori Pop Rock diraih lagu Juwita Citra Terindah ciptaan dan lirik M Nasir yang dinyanyikan komposer terbabit dengan membawa pulang wang tunai RM12,000 dan trofi.
Sementara itu, persembahan Terbaik pula diraih Hazami menerusi lagu Mungkir Bahagia yang meraih wang tunai RM10,000 dan trofi.
Hadiah disampaikan Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Farid Ridzuan.

Juara Lagu
Terlalu Istimewa
Azlan Abu Hassan/Adibah Noor
Irama Malaysia & Etnik Kreatif
Warkah Buat Laila Ayob Ibrahim/Habsah Hassan/Zahid
Balada
Terlalu Istimewa Azlan Abu Hassan/Adibah Noor
Pop Rock
Juwita Citra Terindah M Nasir
Vokal Terbaik
Adibah Noor Terlalu Istimewa
Persembahan Terbaik
Hazami Mungkir Bahagia

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites