Monday, September 03, 2007

Dato' Onn Jaafar Tokoh Anak Gemilang

KUALA LUMPUR: Peranan Datuk Onn Jaafar menyatukan orang Melayu dalam perjuangan menentang penubuhan Malayan Union dan usaha ke arah kemedekaan mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai Tokoh Anak Gemilang Malaysia malam tadi.

Keputusan diumumkan ketua juri Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid selepas 10 pelobi mengemukakan hujah masing-masing di dalam Program Anak Gemilang Malaysia selama 150 minit yang disiarkan secara langsung oleh stesen satelit berbayar, Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Onn merupakan antara 10 calon yang dipilih daripada bidang politik, sukan, seniman, budaya serta kesatuan sekerja yang disenarai pendek untuk rancangan yang diadakan sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-50.

Calon lain termasuk dua bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, pemain bola sepak handalan Mokhtar Dahari, seniman agung Tan Sri P.Ramlee, tokoh masyarakat dan kesatuan sekerja Dr P.P. Narayanan dan tokoh ekonomi Raja Tun Mohar Raja Badiozaman.

Selain itu, penyanyi Sudirman Haji Arshad, pengasas MCA Tun Tan Cheng Lock serta tokoh bahasa dan budaya Zainal Abidin Ahmad atau Pendita Za'aba turut dicalonkan. Kesemua mereka telah meninggal dunia.

Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra tidak disenaraikan kerana sebagai Bapa Kemerdekaan, beliau berada di tahap tersendiri.

Program berbentuk debat dengan setiap panel membincangkan personaliti serta kredibiliti setiap calon yang selayaknya untuk menerima gelaran Anak Gemilang Malaysia.

Panel yang terlibat adalah Prof Madya Dr Adnan Nawang (Zaaba), Prof Datuk Dr Ramlah Adam (Dato' Onn Jaafar), Freddie Fernandez (Sudirman Haji Arshad), Tan Sri G.K. Rama Iyer (Raja Tun Mohar Raja Badiozaman) dan Lazarus Rokk (Mokhtar Dahari).

Panel lain terdiri dari Dr Anuar Nor Arai (Tan Sri P.Ramlee), Mohamed Shafi BP Mammal (Dr P.P. Narayanan), Ch'ng Kim See (Tun Tan Cheng Lock), Datuk Paddy Bowie Schubert (Tun Hussein Onn) dan Tan Sri Datuk Sri Chong Hon Nyan (Tun Abdul Razak Hussein).

Ramlah yang mewakili anggota keluarga Onn menerima hadiah berbentuk Trofi Pewter dan wang tunai RM30,000 daripada Ahmad Sarji sejurus selepas keputusan diumumkan.

Kemuncak Program Anak Gemilang Malaysia malam ini turut dimeriahkan dengan persembahan patriotik oleh Farhan, Sharifah Zarina dan Ray, pemenang Bintang RTM 2007.

Siaran secara langsung ini disiarkan di Astro PRIMA, Astro RIA dan RTM 1.

Selain menyatukan orang Melayu dalam perjuangan mereka menentang penubuhan Malayan Union, Onn turut memainkan peranan utama dalam usaha bagi kemerdekaan Tanah Melayu.

Beliau pernah menjadi Presiden Umno dan pernah mencadangkan agar Umno menerima keahlian semua kaum dan kelonggaran kerakyatan kepada kaum lain.

Bagaimanapun, cadangan itu telah ditolak dan beliau seterusnya melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua Umno (sekarang presiden) pada 1951 dan seterusnya menubuhkan Parti kemerdekaan Malaya sebelum Parti Negara pada 1954.

Beliau gagal dalam pilihan raya persekutuan Tanah Melayu 1955 untuk menjadi Perdana Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu dan meninggal dunia pada 1962 ketika berusia 67 tahun.- BERNAMA

p/s :.... Allahyarham Mokhtar Dahari, menyatukan semua kaum di Malaysia dalam 1 stadium...

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites