Monday, March 19, 2007

Zhana AF5 tertekan gambar aksi panas disebar

Zhana AF5 tertekan gambar aksi panas disebar
KUALA LUMPUR: Bekas peserta Akademi Fantasia 5 (AF5), Wan Nurul Zhana Wan Mohd Hamzan, 23, kini tertekan berikutan penyebaran gambar aksi panasnya, dipercayai dihasilkan melalui teknik pertindihan imej (super-impose) dalam internet.

Sumber yang rapat dengan keluarga Zhana, memberitahu Berita Harian, gambar itu juga menjadi punca mengapa bekas penyampai radio berkenaan hilang tumpuan hingga terpaksa menarik diri pada konsert pertama AF5 yang berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.

"Dia (Zhana) percaya ada pihak cuba mensabotajnya. Itu bukan gambarnya dan ia dipercayai gambar super-impose. Zhana dan keluarganya pun hairan bagaimana gambar itu boleh dikaitkan dengannya," katanya.

Zhana juga difahamkan sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai gambar berkenaan sehingga keadaan reda.

"Dia sekarang sedang berehat dan menenangkan fikiran. Dia tidak akan buat apa-apa kenyataan sehingga keadaan reda," katanya.

Kelmarin, Zhana yang berasal dari Kuala Lumpur, membuat keputusan mengejut apabila menarik diri dari AF5 pada konsert pertama program realiti tv berkenaan di Dewan Sivik MPBJ, di sini.

Penerbit Eksekutif AF5, Bob Azrai, berkata keputusan itu dibuat disebabkan tekanan yang dialami peserta berkenaan.

Ditanya sama ada penarikan diri peserta itu ada kaitan dengan gambar aksi panasnya di internet, beliau berkata, Zhana hanya memberitahu beliau tidak mampu bertahan dalam AF5 atas sebab peribadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management, Freddie Fernandez, yang bertanggungjawab menguruskan peserta AF, ketika dihubungi, mengesahkan sudah dimaklumkan mengenai kontroversi berkenaan.

"Saya sudah tahu fasal perkara itu. Dia (Zhana) pun sudah buat laporan polis dan kita biar perkara ini disiasat dulu. Apa pun tindakan selepas ini, kita akan rujuk pada nasihat polis," katanya.

Sumber Measat Broadcast Network System (Astro), berkata pihaknya tidak mahu terbabit dalam kes gambar aksi panas itu yang kononnya membabitkan peserta berkenaan.

Katanya, secara rasminya apabila peserta berkenaan sudah membuat keputusan keluar dari AF5, beliau tidak lagi mempunyai kaitan dengan program realiti tv berkenaan mahupun Astro.

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites