TIDAK sampai 'setahun jagung' dalam industri hiburan tanah air, gadis manis bernama Zarina An-Julie Fahizul, 21, ini cukup panas. Bukan kerana bakat lakonannya tetapi kontroversi kisah peribadi.
Tiba-tiba saja bintang baru yang menerajui drama seram, Anak Pontianak terbitan produksi Pesona Pictures Sdn Bhd itu menarik perhatian ramai dengan isu gambar lucah.
Namun, Zarina menafikannya. Gadis kacukan Melayu-Scotland ini mendakwa ia teknik pertindihan imej. Apapun, di kala isu itu masih menjadi bualan hangat, Zarina dikatakan 'melarikan diri'.
Zarina yang mesra dengan panggilan Anju berkata, dia tidak pernah melarikan diri. Malah katanya, setiap hari dia bersama rakan menjamu selera di kawasan Taman Tun Dr Ismail dan Sri Hartamas.
“Seingat saya, isu berkenaan berlaku pada Januari. Dalam tempoh itu, saya memang tidak ke mana-mana dan ada di Malaysia. Cuma pada Februari lalu saya ke Indonesia atas urusan kerja. Namun, tidak perlulah saya berbicara lanjut mengenainya.
Mengenai musim baru Anak Pontianak yang dikatakan akan diterbitkan tanpa kehadirannya sebagai pelakon utama disebabkan kontroversi gambar lucah itu, Zarina mengatakan dia masih lagi terikat dengan kontrak bersama Pesona Pictures.
“Saya tidak tahu mengenai pembikinan musim baru Anak Pontianak. Saya juga tidak tahu nama saya digugurkan daripada membintangi siri itu. Memang saya tidak tahu langsung mengenainya.
“Pihak Pesona Pictures tidak memaklumkan apa-apa kepada saya. Apa yang saya tahu, skrip masih belum siap dan penggambaran pun tidak bermula lagi. Kalau ada mengatakan drama itu kini dihasilkan tanpa saya, semua itu khabar angin saja,” katanya.
Apa yang pasti kata Zarina, dia masih lagi menerima tawaran berlakon dan kerjayanya tidak terjejas selepas kontroversi itu.
“Saya akan berlakon satu telefilem, Jahil. Ia terbitan produksi Layar Dimensi Sdn Bhd. Dijangkakan penggambaran berlangsung selama 10 hari dan lokasinya di Melaka.
“Saya bersyukur kerana ketika kemelut yang dihadapi, ada pihak sudi memberi peluang. Pemilihan saya untuk Jahil juga menerusi uji bakat.
“Dalam telefilem ini, saya melakonkan watak Jamilah yang tinggal bersama adik lelaki dan anak yatim piatu. Namun, kami dibesarkan bapa saudara yang berkahwin dengan wanita asing,” katanya.
Ditanya sejauh mana dia berasa lakonannya itu akan diterima peminat, Zarina berkata, sekalipun isu panas itu menjatuhkan reputasinya, masih ada peminat sedia memberi sokongan kepadanya.
“Setiap kali saya keluar bersama rakan ke pusat beli-belah, ada juga mak cik yang menegur. Malah mereka mengatakan akan terus menyokong saya dalam bidang ini. Ia membuatkan saya bersemangat untuk membuktikan bakat diri.
Ditanya mengenai dirinya yang dikatakan berminat membaca buku kehamilan, Zarina mengakui pernah berkunjung ke kedai buku tetapi bukan mencari buku berkenaan, sebaliknya bahan bacaan mengenai cinta.
“Saya tidak tahu kenapa hingga sampai ke tahap ini orang mengikuti perkembangan diri saya. Kalau diikutkan, saya bukanlah artis terkenal di Malaysia. Bukan itu saja, ada satu lagi cerita mengatakan saya intim dengan lelaki yang dikatakan terbabit dengan gambar lucah itu. Kami dikatakan makan bersama di Sri Hartamas.
“Saya ingin jelaskan, kehadiran saya di situ bukan dengan lelaki berkenaan tetapi ditemani rakan dan kami seramai 10 orang. Takkan itupun boleh dijadikan bahan cerita.
“Sebenarnya saya sudah penat memberi penjelasan. Terpulang kepada orang ramai untuk mempercayainya. Selebihnya biar itu antara saya dengan Tuhan.
“Apapun, saya tetap gembira kerana keluarga memahami dan sentiasa memberi sokongan kepada saya. Bagi mereka, inilah asam garam dunia hiburan,” katanya.
Jeraul said : Saper lah memandai-mandai superimposed kan gambo budak nie....hehehehe.
0 comments:
Post a Comment