Jika anda meminati filem ‘The Terminator’, semestinya anda mengenali watak Sarah Connor yang dimainkan oleh Linda Hamilton. Sarah merupakan ibu kepada John Connor. Dewasa kelak John akan mengetuai kumpulan pejuang untuk menyelamatkan manusia. Oleh sebab itu, Terminator yang berasal dari masa depan telah dihantar ke masa lampau untuk menghapuskan Sarah.
Kini kisah Sarah Connor telah diadaptasikan ke drama bersiri yang berjudul ‘The Sarah Connor Chronicles’. Ia akan mula bersiaran di 8TV pada 21 April, setiap hari Isnin, jam 10 malam.
‘The Sarah Connor Chronicles’ mengisahkan tentang kehidupan Sarah (Lena Headey) dan John (Thomas Dekker), sambungan dari filem ‘Terminator 2: Judgement Day’. Kedua ibu dan anak terpaksa hidup sebagai pelarian yang dikehendaki pihak polis, selepas menumpaskan T-1000 dan Terminator.
Walaupun menyedari yang dia mungkin penyelamat masa hadapan manusia, John mendapati dirinya masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua. Beliau tidak mempunyai kehidupan sosial yang normal bersama rakan-rakan sekolahnya akibat sikapnya yang pendiam dan suka menyimpan rahsia. Namun, John amat tertarik kepada Cameron (Summer Glau), seorang gadis yang penuh misteri di sekolahnya.
Tetapi Cameron bukanlah gadis biasa mahupun sekadar seorang rakan. Di sebalik persis wajahnya yang manis, sebenarnya tersembunyi semangat seorang pahlawan yang akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan John dari sebarang bahaya.
Dikala Sarah dan John meneruskan hidup mereka dengan penuh berhati-hati, timbul bahaya yang baru. Seorang ajen FBI pintar mula memberi perhatian terhadap mereka yang akhirnya menjadi seorang pembantu yang amat berkuasa.
0 comments:
Post a Comment