Wednesday, July 25, 2007

Amaran Kepada Penulis Blog

Tajuk Utama Berita Harian hari ini. Click Here .
Oleh Norfatimah Ahmad dan Jalal Ali Abdul Rahim

KUALA LUMPUR 24 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada pengendali laman web dan wartawannya bahawa mereka tidak akan terlepas daripada undang-undang negara.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, walaupun kerajaan memberi kebebasan untuk rakyat menulis dan menyuarakan pandangan tetapi kebebasan itu ada hadnya.

‘‘Mereka mesti bertanggungjawab kepada laman web yang dikendalikan dan tidak menganggap sikap toleransi kerajaan sebagai lesen untuk menyiarkan apa sahaja atas nama kebebasan bersuara tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat,’’ ujar beliau.

Najib berkata, kerajaan yang bertanggungjawab ke atas kesejahteraan masyarakat tidak akan membiarkan sesiapa mengganggu-gugat perpaduan dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

‘‘Walaupun kerajaan begitu toleran terhadap pendirian antikerajaan dan kritikan yang dibuat dalam laman web, kita amat bimbang kepada kenyataan yang menghina agama dan berbau perkauman sehingga menimbulkan keresahan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Anugerah Kewartawanan Malaysia 2006 di sini malam ini.

Hadir sama ialah Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Marican; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Khalid Mohd. dan Pengerusi MPI, Datuk Azman Ujang.

‘‘Pengendali dan wartawan laman web mesti menunjukkan sikap yang penuh tanggungjawab, berhati-hati dan teliti. Sebagai penulis, mereka seharusnya menghargai hasrat rakyat Malaysia untuk membina sebuah negara yang aman dan stabil,’’ katanya.

Najib berkata, kerajaan bimbang dengan perkembangan dalam media baru itu berikutan tindakan pengendalinya yang tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam menguruskan ruangan dalam laman web mereka.

Katanya, mereka menguruskan ruangan-ruangan tersebut berdasarkan pandangan dan kecenderungan peribadi yang tidak mengambil kira kepentingan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

‘‘Atas nama kebebasan, laman-laman web ini membenarkan fitnah, pembohongan, maki hamun, kata-kata kesat, keji dan kenyataan bersifat perkauman disiarkan tanpa mengambil kira kesannya kepada pembaca,’’ ujar beliau.

Najib menambah, situasi tersebut merupakan perkembangan yang tidak sihat kerana ia boleh mengganggu-gugat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata, secara keseluruhan sejak 50 tahun negara merdeka, media di negara ini telah bertindak dengan penuh tanggungjawab walaupun ada kalanya ia tersasar dan menimbulkan suasana konfrontasi.

Katanya, media boleh membuat teguran dan mengkritik, namun ia harus bersifat membina, objektif, adil dan berasaskan fakta.

‘‘Teguran dan kritikan membina dapat membantu kerajaan mengatasi kelemahan dan kepincangan sedia ada, memperbaiki sistem yang tidak efisien, meningkatkan akauntabiliti serta memperkemaskan lagi sistem pentadbiran.

‘‘Ini merupakan harapan kita semua. Kerajaan sensitif akan perkara ini kerana kita sentiasa mahukan yang terbaik untuk rakyat dan negara,’’ katanya.

Najib turut menyarankan organisasi media membuat pelaburan dalam latihan bagi memastikan profesionalisme tenaga kerjanya kekal pada tahap tinggi.

Jeraul : - Berhati-hati semasa berblogger....

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites