Dewan Negara: ISA bagi penulis blog sentuh isu sensitif
Laporan Jalal Ali Abdul Rahim
Kerajaan bertindak jika hina Seri Paduka, persenda Islam: Nazri
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas, termasuk mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 121b Kanun Keseksaan (KK) terhadap penulis laman blog yang menyentuh isu sensitif, termasuk menghina Yang di-Pertuan Agong dan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata kerajaan sudah banyak bersabar dan tidak akan bertolak ansur lagi dengan perbuatan keterlaluan penulis blog.
“Kerajaan tidak mahu dilihat sebagai tidak bermaya, jadi masanya sudah tiba untuk kita ambil tindakan terhadap orang seperti ini. Apakah penulis blog ingat mereka seperti Ahli Parlimen yang boleh cakap apa saja, sedangkan Ahli Parlimen pun ada peraturan sendiri.
“Saya beri jaminan kita akan ambil tindakan... kita sudah banyak bersabar," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007 di Dewan Negara, semalam, yang kemudian diluluskan.
Kelmarin, Umno membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi terhadap laman web Malaysia Today kerana menyiarkan komen sensitif berhubung isu kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, Islam dan perkauman.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dilaporkan berkata, komen orang ramai yang disiarkan laman web itu pada 11 Julai lalu melanggar undang-undang dan menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Nazri berkata, soal berkaitan Islam dan Yang di-Pertuan Agong serta isu sensitif lain tidak boleh disentuh kerana boleh menimbulkan kemarahan rakyat dan perkara ini sudah dipersetujui sejak sebelum merdeka.
Beliau berkata, tulisan yang mendakwa agama Islam satu penipuan besar terhadap umatnya dengan mengatakan orang Arab meletakkan batu di tengah padang pasir dan umat Islam menyembah batu itu (Kaabah) bukan saja bersifat kurang ajar, malah boleh menimbulkan kemarahan umat Islam.
Nazri turut menyelar penulis blog yang membidas Muhammad kerana membuat laporan polis dan menyifatkan penulis berkenaan sebagai kebudak-budakan serta mempunyai mentaliti kelas kelima.
Menjawab celahan Datuk Musa Sheikh Fadzir, Nazri berkata, pegawainya akan meneliti peruntukan undang-undang sesuai supaya penulis blog terbabit dikenakan hukuman setimpal.
Sumber Berita Harian.
Jeraul :..berhati-hati semasa memandu....eh salah, berhati-hati semasa berblogger...
0 comments:
Post a Comment